Sunday, 26 March 2017

Tadabbur Kalamullah

*Tadabbur Kalamullah 20 Jamadilakhir 1438H*

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan" [Surah Hud 112]

#Ayat ini mengingatkan kita bahawa jangan sekali-kali tinggalkan Islam dan kebenaran dalam apa jua posisi kita. Memburu kepentingan dunia, kepentingan kedudukan, kepentingan politik jangan sampai melunturkan nilai pegangan dan amalan Islam. Istiqamah dan kekallah bersama-sama Islam dan kebenaran.

#Rasulullah saw pernah mendapat tawaran yang hebat dari Utbah bin Rabiah mewakili Kerajaan Kuffar pada zaman dakwah baginda. Kata Utbah (Abal Walid):

يا ابن أخي، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا، وإن كنت تريد به شرفا سودناك علينا، حتى لا نقطع أمرا دونك، وإن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا؛ وإن كان هذا الذي يأتيك رئيا تراه لا تستطيع رده عن نفسك، طلبنا لك الطب، وبذلنا فيه  أموالنا حتى نبرئك منه

“Wahai anak saudaraku, jika engkau berjuang ini kerana mahukan harta, kami sedia kumpulkan harta-harta kami dan diserahkan kepadamu sehingga engkau menjadi orang paling kaya di kalangan kami. Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi pemimpin, kami sedia lantik engkau jadi pemimpin sehingga kami tidak memutuskan sebarang keputusan melainkan mendapat persetujuanmu. Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi raja, kami sedia menabalkan engkau menjadi raja yang memerintah kami. Jika sekiranya engkau dirasuk suatu yang engkau sendiri tidak mampu menghadapinya, kami sedia menyediakan tabib untuk merawatmu dan kos ditanggung oleh kami sehingga engkau sembuh.” (Sirah Ibnu Hisyam)

*Nabi saw menolak semua tawaran yang ditawarkan sebaliknya terus bersama Islam yang diperjuangkan oleh Baginda saw dan meneruskan dakwah sebagaimana yang diamanahkan Allah kepada baginda.

#Hayatilah pesanan dan amanat yang disampaikan oleh Rasulullah saw ini:

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ

“Ketahuilah sesungguhnya roda Islam itu berputar. Maka berputarlah bersama al-Kitab (Islam) sekira-kira bagaimana ia berputar. Ketahuilah sesungguhnya al-Kitab dan Pemerintah dua perkara yang berbeza. Maka jangan memisahkan diri dari al-Kitab (Islam). Ketahuilah sesungguhnya kamu akan mendepani pemerintah yang memerintah untuk kepentingan mereka bukan untuk menjaga kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Lalu sahabat berkata; Ya Rasul Allah, (apabila kami bertemu dengan situasi begini) apa yang harus kami lakukan? Nabi sallallahu’alaihi wasallam menjawab; Jadilah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi Isa ibnu Maryam, jasad mereka digergaji, digantung pada kayu salib (namun mereka tetap bersama Islam). Mati dalam keadaan taat kepada Allah lebih baik dari hidup derhaka kepada Allah.” (Riwayat al-Tabarani)

♡Berdoalah agar Allah swt istiqamahkan kita bersama--sama Islam dan berjuanglah untuk menyebar dan mendaulatkan Islam selagi masih bernafas♡

No comments:

Post a Comment